PADANG TERAP 13 Jan. – Sebanyak 2,000 bilik darjah di sekolah seluruh
negara akan mengaplikasikan konsep kelas pintar melalui program Pembelajaran
Abad Ke-21 (PAK-21) sepenuhnya menjelang Mac ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan
program tersebut bertujuan memperkasakan proses pengajaran dan pembelajaran
(PdP) dengan berpandukan teknologi terkini melibatkan peruntukan berjumlah
RM190 juta.
Katanya, setakat ini, PAK-21 telah dilaksanakan di tiga buah sekolah
iaitu Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Baru Enstek dan Sekolah Datuk Abdul Razak,
Seremban di Negeri Sembilan dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 lalu
memberi peruntukan untuk fasa pertama pembinaan kelas pintar PAK-21 ini di
2,000 bilik darjah dengan peruntukan RM190 juta.
“Ia akan dilaksanakan di sekolah kebangsaan (SK), sekolah menengah
kebangsaan(SMK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis
kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya selepas majlis Penyampaian Sumbangan Baucar
Peralatan Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Ahmad Kuala Nerang
di sini hari ini.
Mahdzir berkata, peruntukan berkenaan adalah untuk menaik taraf bilik
darjah di sekolah terbabit dengan papan mengajar pintar, kerusi serta meja
canggih dan komputer riba.
Tambah beliau, sekolah-sekolah yang terpilih untuk melaksanakan
kelas pintar berkenaan dikenal pasti oleh Jabatan Pendidikan negeri (JPN)
masing-masing.
“Ini adalah permulaan, kita akan bahagikan peruntukan itu kepada JPN
untuk laksanakan kelas pintar ini.
“Pemilihan sekolah berkenaan bergantung kepada JPN yang akan
mengenalpasti sekolah-sekolah berkenaan di bandar dan luar bandar,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mahdzir berkata, PAK-21 merupakan
transformasi dalam dunia pendidikan iaitu daripada PdP secara konvensional
kepada PdP yang lebih dinamik dan kreatif sesuai dengan perkembangan semasa.
“Semua guru perlu bersedia untuk melaksanakan PdP abad ke-21
menggunakan teknologi terkini seiring dengan perubahan pesat dunia digital.
Sebagai contoh, dulu guru menggunakan papan putih tetapi kini smart board
(papan putih interaktif) ditambah dengan alat peranti,” katanya.
Tambah beliau, program berkenaan mampu mempercepatkan proses PdP dalam
bilik darjah.
No comments:
Post a Comment